Gadong, Rabu, 21 Januari 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Makan Beradat sempena Sambutan Hari Polis ke-105 pada malam semalam bertempat di Dewan Bankuet Mes PPDB, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan; Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin serta Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.
Semasa majlis tersebut, Tetamu Kehormat berkesempatan beramah mesra bersama pegawai-pegawai kanan PPDB sebelum menandatangani lembaran kenangan di Ruang Legar Dewan Bankuet, disusuli dengan sesi bergambar ramai bersama Pesuruhjaya Polis dan Timbalan Pesuruhjaya Polis serta para Pengarah, Timbalan Pengarah dan Ahli Jawatankuasa Mes Pegawai.


Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa selamat dan jamuan makan malam yang diiringi muzik oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.
Sambutan Hari Polis ke-105 pada tahun ini membawa tema “Memperkasa Pasukan ke Arah Wawasan 2035.”


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
