GADONG, Selasa 3 Okt 2023 – Seramai 14 orang murid darjah 6 Sekolah Ugama Anak-Anak Pasukan Polis Diraja Brunei diraikan pada majlis khatam Al-Quran setelah berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran 30 juz, hari ini. 

Majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis itu dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan Pengiran Datin selaku tetamu kehormat majlis yang turut merenjis minyak wangi dan menyampaikan sijil khatam kepada murid-murid yang diraikan. 

Turut hadir Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei & Datin, Pengarah jabatan-jabatan PPDB, Pengarah-pengarah Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Guru-Guru Besar Sekolah Ugama kawasan Brunei Tiga dan Ibubapa serta Penjaga murid-murid yang diraikan. 

Majlis yang merupakan aktiviti tahunan sekolah berkenaan adalah dihasratkan untuk memberi galakan kepada murid-murid agar sentiasa membaca Al-Quran dengan betul dan lancar di samping memastikan murid-murid dapat mengkhatamkan Al-Quran sebelum mereka menamatkan Darjah 6 persekolahan agama. 

 Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan ayat-ayat lazim oleh peserta khatam. 

Manakala itu, Takhtim dibacakan oleh murid-murid perempuan darjah 4 & 5 sekolah berkenaan dan Doa Khatam dibacakan oleh peserta khatam Awg Rayyan Iman bin Yusri. 

Majlis juga diserikan dengan laungan Dikir Manhadar oleh murid-murid lelaki darjah 3, 4 & 5 sekolah berkenaan. Seterusnya, bacaan doa selamat dibacakan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar bagi memberkati majlis.

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​