GADONG, Rabu 22 Mei 2019 – Membudayakan pembacaan Al Quran khususnya di Bulan Ramadan yang mubarak ini merupakan tonggak utama Majlis Khatam Tadarus Al Quran anjuran Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam.

Turut hadir di Majlis yang penuh keberkahan itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali beserta para-para pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai serta anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.
Acara dimulakan dengan Sembahyang Fardu Zohor berjemaah yang diimamkan oleh APO Sarjan Mejar 6924 Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Metahir, Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong dan seterusnya diikuti dengan Acara Khatam Al-Quran, bacaan Tahtim dan juga Tahlil.
Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan kepada semua anggota PPDB khasnya dan juga seluruh penduduk Negara Brunei Darussalam amnya di sepanjang bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
