BRUNEI MUARA, Rabu 29 Mac 2023 – Berikutan maklumat yang dikongsikan orang ramai kepada Pihak Polis berkenaan aduan bunyi bising di kawasan Kg Sungai Besar, satu gerakan operasi dinamakan Operasi Sahur telah dikendalikan semalam 29 Mac 2023 sekitar jam 2.30 pagi oleh para Pegawai dan Keanggotan daripada Ibu Pejabat Daerah Polis Brunei Muara.
Operasi Sahur yang diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Timbalan Penguasa Polis Pg Khairul Hakimin berserta 30 pegawai dan anggota yang terdiri daripada para detektif dan Balai Polis Muara telah menjalankan pemeriksaan mengejut di sebuah rumah kediaman di kawasan Kg Sungai Besar, Brunei Muara.
Hasil daripada pemeriksaan telah berhasil menahan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 20 tahun kerana didapati ada bersamanya sejumlah barang-barang tegahan seperti;
1- Paket-paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah syabu dan ganja serta peralatan-peralatan untuk penyalahgunaan dadah.
2- Dua paket rokok dan juga 22 botol minuman keras.
Kesemua barang tegahan dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan dan manakala penemuan paket ketulan hablur dipercayai dadah diserahkan kepada pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan selanjutnya.
PPDB serta agensi penguatkuasa yang berkaitan ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
