GADONG, Khamis 2 Jan 2020 – Setiap tanggal 1 Januari merupakan tarikh yang sangat penting bagi warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam mengimbas kembali sejarah akan penubuhan pasukan secara rasminya pada 1 Januari tahun 1921.
Pada tahun ini, PPDB telah menjangkau usianya ke 99 tahun dengan suasana negara berada di dalam keadaan aman, sentosa lagi sejahtera.
Bersempena dengan tarikh 1 Januari ini, satu doa kesyukuran bersempena sambutan hari polis telah diadakan bertempat di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang penuh berkah itu ialah Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pg Haji Abd Hamid, para pengarah, pegawai kanan, pegawai-pegawai, anggota serta kakitangan PPDB. Turut dijemput dalam majlis tersebut ialah mantan-mantan polis yang pernah mencurahkan bakti dan keringat di dalam pembangunan PPDB sehingga ke hari ini.
Acara dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib Berjemaah dan diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar semua warga PPDB sentiasa dikurniakan kesihatan untuk melaksanakan tugas mencegah dan membanteras jenayah serta memohon perlindungan agar warga PPDB dihindari daripada kecelakaan dan kesukaran dalam menjalankan tugasan.
Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sempena menyambut Hari Polis Ke-99, diselajurkan dengan Tahlil dan Doa Arwah, memohon pahala disedekahkan kepada warga PPDB yang telah meninggal dunia.
Mengetuai bacaan pada majlis tersebut ialah Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong Yang Mulia APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
