GADONG, Isnin 18 Mac 2019 – Salah satu acara asasi yang diselitkan sebelum Upacara Perbarisan Tamat Latihan bagi pelatih-pelatih rekrut Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB)  ialah acara Majlis Dikir.  

Pada kali ini, seramai 59 pelatih lelaki, 22 pelatih wanita daripada Skuad 1/2018 pengambilan Polis Konstabel dan seramai 28 pelatih lelaki daripada Skuad 1/2018 pengambilan Polis Tambahan (APO) telah diraikan di dalam satu majlis dikir sempena tamat latihan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Pusat Latihan Polis, Gadong. 

Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Pengarah Jabatan Pentadbiran Am & Kewangan PPDB, Yang Mulia Penguasa Kanan Polis (Snr Supt) Haji Zaini bin Haji Abd Rahim. 

Turut hadir pegawai-pegawai Kanan, jemputan khas, anggota-anggota PPDB serta ahli-ahli keluarga para pelatih yang diraikan. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al – Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh pelatih Polis Konstable Lelaki 6569 Mohammad Zulhairi bin Omarali dan juga merangkum mengepalai bacaan Dikir As-Salai dan Marhaban beramai-ramai. 

Majlis kemudian diikuti dengan acara menabur bunga rampai dimulai oleh tetamu kehormat dan disusuli oleh jemputan dan ahli keluarga pelatih. 

Sebelum mengakhiri majlis, doa selamat telah dibacakan oleh pelatih Polis Konstable Lelaki 6569 Mohammad Zulhairi bin Omarali. 

Para pelatih-pelatih akan menamatkan latihan kepolisan dengan Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang akan diadakan pada 21 Mac 2019 bertempat di Padang Kawad Besar Pusat Latihan Polis (PLP) Setelah menjalani latihan asas di PLP sejak 14 Mei 2018 bagi Polis Konstabel dan 15 September 2018 bagi Polis Tambahan (APO). 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI