GADONG, Khamis 26 Sept 2019 – Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Ceramah Khas Sempena Sambutan Tahun Baru Hijrah 1441 bertempat di Dewan Auditorium Ibu Pejabat PPDB, Jalan Tungku Gadong.  

Hadir selaku Tetamu Kehormat Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali. 

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abd Hamid, pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai pemerintah, ketua-ketua formasi, pegawai, anggota serta kakitangan PPDB. 

Dalam menyemarakkan acara sambutan tahun baru Hijrah 1441 ini, majlis turut diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan Yang Mulia Ustaz Haji Jofri bin Haji Hidop, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Universiti Brunei Darussalam. 

Bagi memulakan dan memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar. 

Intipati ceramah khas bertajuk ‘Bekerja Mencari Rezeki Dengan Redha Allah’ mengupas serba sedikit berkaitan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW) dalam mencari rezeki halal yang mengundang rahmat dan berkat Allah SWT. Kita yakin dengan kebesaran Allah SWT dalam menampung segala keperluan hidup. Di samping rezeki yang kita ada terdapat rezeki orang lain dan janganlah kita bersikap dengki atau iri hati ke atas rezeki orang lain. 

Majlis seterusnya penyampaian cenderahati yang disampaikan Pesuruhjaya Polis, PPDB kepada penceramah undangan dan majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat daripada Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI