SUNGAI LIANG, Selasa 12 Februari 2019 – Seorang lelaki warganegara tempatan maut di tempat kejadian selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok lalu terbabas. Kejadian berlaku di kawasan laluan keluar / masuk Batallion Ketiga Lumut Kem, Daerah Belait. 

Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan kejadian kemalangan diterima melalui panggilan kecemasan yang diterima pada 12 Februari 2019 sekitar jam 9.29 malam yang telah meragut nyawa Mohammad Saiful Rizal bin Ramelee berumur 38 tahun. 

Hasil siasatan awal mendapati, mangsa maut telah mengadu sakit dada dan kepala ketika sedang memandu sebelum kereta tersebut hilang kawalan. Mangsa maut telah mengalami kecederaan dalaman yang serius di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru dan menegaskan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengikut had laju yang telah di tetapkan. Dalam pada itu, disarankan supaya semua pengguna-pengguna jalanraya untuk mengambil perhatian  terhadap pemakaian tali pinggang keselamatan kerana ianya bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan ketika memandu jika berlakunya kemalangan. 

Dikeluarkan Oleh :  

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI