BERAKAS, Selasa 9 Julai 2019 – Seorang lelaki penduduk tetap telah dihadapkan ke Mahkamah hari ini atas kesalahan menipu. 

Pada 4 Julai 2019 Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima laporan berhubung dengan kegiatan kes tipu melibatkan jual beli kereta. 

Berikutan laporan berkenaan, keanggotaan Balai Polis Berakas telah berhasil menahan seorang suspek berbangsa Cina bernama Geoffrey Achong Han Sun berumur 48 tahun bagi dijalankan siasatan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan tersebut. 

Pada petang hari ini 9 Julai 2019, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan atas kesalahan menipu dan mendorong secara tidak jujur supaya diserahkan harta di bawah Seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Tertuduh telah mengaku bersalah dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 2 tahun di Penjara Maraburong yang bermula pada tarikh 9 Julai 2019. 

PPDB ingin mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam urusan jual beli kereta terutamanya kereta-kereta terpakai dan sentiasa peka dalam memastikan dokumen-dokumen penting adalah lengkap dan sahih. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI