SERIA, Ahad 30 Ogos 2020 – Seorang lelaki warga asing maut selepas terlibat dengan insiden kemalangan jalanraya yang berlaku di kawasan F4, Jalan Tengah Panaga, Seria.
Pihak Polis menerima panggilan kecemasan tersebut pada 30 Ogos 2020 sekitar jam 3.37 petang melibatkan kemalangan sebuah kereta dengan motosikal. Sejurus mendapat maklumat tersebut, Balai Polis Panaga, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera ke tempat kejadian.
Hasil daripada siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa yang maut merupakan seorang warga Britain berumur 42 tahun telah menunggang sebuah motosikal lalu dipercayai merempuh sebuah kereta yang berada dihadapannya yang hendak memasuki persimpangan jalan.
Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait dan telah disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.
Pada ketika ini pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca kejadian sebenar.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan kepada para pengguna jalanraya agar sentiasa peka akan had kelajuan yang dipandu dan sentiasa fokus dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap jalanraya dan kawasan persekitaran.
Di samping itu, usaha akan sentiasa dikerah bagi memastikan kesedaran sentiasa dipupuk kepada orang ramai terhadap kepentingan menjaga keselamatan semasa pemanduan bagi mengelak daripada kecuaian yang berpunca daripada pemandu sendiri.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
