MUARA, Khamis 27 Jun 2019 – Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini membuat lawatan muhibah ke kapal Tsugaru, Pengawal Pantai Jepun (JCG) di Pelabuhan Muara.

Kapal Tsugaru mula bertolak dari Hakodate, Jepun pada 17 Jun 2019 dan sampai ke Brunei Darussalam pada 26 Jun 2019. Dalam lawatan ini, Pesuruhjaya Polis telah dapat melihat dengan lebih dekat keupayaan dan pengendalian kapal berkenaan.

Hubungan kerjasama yang pernah terjalin sebelumnya berakhir pada tahun 2005 kini dihidupkan kembali dan ianya akan menjadi langkah pertama dalam sokongan berterusan untuk menjalin kerjasama yang lebih kukuh bersama PPDB khususnya Polis Marin dalam kerja-kerja kepolisan, langkah-langkah anti-lanun di Asia Tenggara, latihan pencemaran marin, perkongsian maklumat, peningkatan kapasiti dan kawasan-kawasan kepolisan lain yang boleh meningkatkan keupayaan kedua belah pihak di samping isu-isu kepentingan strategik.

Pesuruhjaya Polis juga mengucapkan terima kasih kepada Suzuki Hirohisa, Pegawai Pemerintah JCG atas sokongan berterusan yang diberikan selama ini dan hubungan dua hala yang mesra di antara PPDB dan JCG, Jepun.

Turut hadir pada kunjungan tersebut ialah Pegawai Pemerintah Polis Marin, Penguasa Polis Haji Azree bin Haji Abdul Manaf/Munap, pegawai-pegawai dari Polis Marin dan pegawai-pegawai JCG. Lawatan diakhiri dengan pertukaran cenderahati dari dua belah pihak. Destinasi seterusnya akan belayar menuju ke Republik Filipina.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI