BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 23 Jan 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api adalah menjadi satu kesalahan undang-undang di negara ini.
Ia adalah berikutan terdapat segelintir orang ramai didapati bermain mercun atau bunga api dan tidak mematuhi larangan sepertimana yang telah ditetapkan.
Kenyataan tersebut menekankan bahawa mengikut Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Negara Brunei Darussalam, Penggal 58, iaitu sekatan mengimport mercun, bunga api dan sebagainya menyebutkan sesiapa sahaja tidak boleh mengimport, membuat, menjual atau memiliki apa-apa mercun atau bunga api atau yang mengandungi bahan letupan atau campuran bahan letupan.
Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang tersebut boleh didakwa dan dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima (5) tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta hukuman tiga (3) kali sebatan dan tidak melebihi 12 kali sebatan.
Manakala bagi hukuman mengikut Peraturan 17 (2), Akta Senjata Api dan Bahan Letupan menyatakan mana-mana orang yang melanggar Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan adalah bersalah kerana melakukan satu kesalahan dan jika sabit akan dikenakan denda BND3,000.
Sementara mengikut Seksyen 6, Undang-Undang Kesalahan Kecil, Penggal 30 menyatakan mana-mana orang yang menyalakan atau membakar apa-apa bahan api hingga menyebabkan gangguan, kesulitan atau menimbulkan bahaya kepada orang awam atau melepaskan apa-apa belon api atau roket di mana-mana jalan awam adalah bersalah dan boleh dihukum denda BND250.
Adapun tujuan larangan tersebut menjurus pada kemaslahatan orang awam kerana jika ia diingkari, maka boleh mengundang bahaya pada bukan sahaja mereka yang bermain, tetapi juga kepada orang lain kerana api dihasilkan daripada bahan bunga api boleh mendatangkan kecederaan pada tubuh badan serta kerosakan pada harta benda dan kebakaran.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
