GADONG, Jumaat 6 Dis 2019 – Kematian adalah sesuatu yang tidak akan dapat dihindari oleh setiap makhluk yang merasakan hidup. Sebagai seorang insan yang muslim, apa yang harus dilakukan adalah dengan mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian dengan beramal soleh serta sentiasa menjaga solat selama hidup. 

Berikut adalah antara lain petikan intipati ceramah taubat yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, penceramah undangan dari Al-Minhaj Centre dan Da’ie Bertauliah, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) bagi kuliah subuh yang diadakan di Surau, Ibu Pejabat Polis Gadong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). 

Hadir selaku tetamu kehormat Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis, PPDB. 

Turut hadir Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Dato Paduka Haji Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan serta anggota, kakitangan PPDB dan jemaah-jemaah surau polis. 

Majlis ini dianjurkan oleh Badan Ugama Islam (BUI) PPDB adalah bertujuan untuk menyemarakkan lagi hari jumaat yang penuh dengan keberkatan serta menyelitkan bimbingan agama untuk mendapatkan keredaan Allah S.W.T kepada warga pasukan khasnya dan orang awam amnya. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI