BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 29 April 2020 – Hasil usaha menabung bertukar hiba bila mana wang simpanan seorang mangsa yang berjumlah kira-kira $66,000 telah digunakan tanpa pengetahuannya oleh seseorang yang dikenali.
Perkara ini terbongkar semasa mangsa mengemaskini buku simpanan wang di salah sebuah cawangan bank dan pihak bank menjelaskan telah berlaku pemindahan wang mangsa ke akaun bank lain.
Siasatan telah dijalankan oleh Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan berhasil mengenal pasti dua (2) orang suspek dipercayai terlibat dengan kes ini. Suspek pertama bernama Nur Sabihah bte Haji Zulfikri berumur 25 tahun dan bekerja sebagai cikgu disekolah swasta manakala suspek kedua bernama Hajah Siti Khadizah binti Bujang berumur 37 tahun bekerja sebagai kerani.
Hasil siasatan mendapati suspek telah mendaftarkan ‘online banking’ akaun mangsa tanpa pengetahuan mangsa lalu memindahkan wang tersebut ke akaun peribadi suspek pertama dan kedua.
Wang tersebut telah digunakan oleh suspek pertama untuk membeli tiket melancong, empat (4) telefon bimbit jenama Iphone 11 untuk kawan-kawan suspek, satu (1) Ipad, satu (1) Iphone Pro Max untuk suspek sendiri manakala wang selebihnya digunakan untuk keperluan peribadi. Sementara itu, suspek kedua telah dipindahkan wang sebanyak $1,000 untuk kegunaan peribadinya.
Kedua-dua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini 29 April 2020 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 Curi Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan dibacakan Seksyen 3(1)(b) Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012.
Pihak Mahkamah telah memutuskan bagi tertuduh pertama dihukum dengan pemenjaraan selama 2 tahun 8 bulan dan tertuduh kedua pemenjaraan selama 8 bulan di Penjara Wanita Jerudong bermula pada 20 April 2020.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihati orang ramai agar menghindari daripada melakukan perbuatan mengkhianati dan menyalahgunakan kepercayaan yang telah diamanahkan dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab diri masing-masing.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
