BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 1 Mei 2019 – Seorang lelaki warga tempatan telah mengaku bersalah atas kesalahan berhubung kes tipu secara menyamar sebagai seorang kakitangan kerajaan yang berlaku pada 23 November 2018. 

Menurut laporan kes yang diterima, mangsa telah didatangi oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai seorang kakitangan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri bernama Tuan Ariffin yang menawarkan khidmat dengan bayaran dan imbalan. 

Menurut mangsa lagi, mangsa telah memberikan wang sebanyak BND$4,020 kepada suspek dengan tujuan untuk membantu membebaskan anak mangsa dari penjara. 

Hasil daripada risikan dan siasatan yang dijalankan, pihak Polis telah berjaya mengesan suspek berkenaan pada 21 Disember 2018. Suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan bernama Khairol Ariffin Haji Altadin berumur 41 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan. 

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu hukuman kerana menipu secara menyamar. 

Hasil daripada perbicaraan Mahkamah tertuduh telah dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 2 tahun di Penjara Maraburong bermula pada 1 Mei 2019. 

Di kesempatan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihatkan kepada orang ramai agar lebih peka dan berhati-hati dalam mengesan mana-mana pelakuan yang mencurigakan atau penyamaran dari segi urusan-urusan agar tidak terpedaya dengan kegiatan-kegiatan penipuan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI