BERAKAS, Isnin 13 April 2020 – Dua orang lelaki warga tempatan diberkas kerana dipercayai terlibat dengan 4 kes curi yang berlaku di beberapa tempat di Daerah Brunei Muara. 

Bertindak atas kejadian curi yang dilaporkan pada 4 Mac 2020, keanggotaan Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil menahan dalang kepada kes berkenaan di samping pembongkaran tiga (3) kes lain yang turut dilaporkan sebelum ini. 

Suspek pertama bernama Mohammad Azeem Wan Adika bin Jeluddin berumur 21 tahun dan suspek kedua bernama Mohammad Nur Syazwandy @ Amirnurizal bin Sarozi berumur 22 tahun. Kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang pekerjaan. 

Kejadian berlaku sekitar bulan Februari dan April 2020 di mana Balai Polis Berakas ada menerima dua laporan kecurian di salah sebuah sekolah ugama di kawasan Madang. Siasatan yang dijalankan mendapati suspek dipercayai masuk melalui pagar sekolah dan telah melakukan curi dengan mengambil beberapa barangan milik sekolah. 

Manakala kejadian seterusnya berlaku sekitar bulan Mac 2020 jam 3 subuh, suspek kedua pergi ke rumah jirannya di kawasan Kg Madang dan melakukan curi ke atas 3 rim beserta tayar yang diletakkan di kawasan garaj rumah mangsa. Menurut suspek juga, rim beserta tayar tersebut telah dijual di kedai kitar semula bagi membeli keperluan lampin bayi, susu dan selebihnya untuk membeli dadah syabu. 

Selanjutnya pada sekitar bulan Mac 2020, suspek kedua juga dipercayai telah melakukan curi ke atas sebuah kereta Toyota Super Kijang di kawasan letak kereta Sg Akar Central. Suspek memandu kereta tersebut dan menyembunyikannya di kawasan Jln Pasir Berakas dengan dibantu oleh suspek pertama. Adapun tujuan suspek mencuri kereta tersebut hanya untuk pulang ke rumahnya. 

Kedua-dua suspek dihadapkan ke Mahkamah Perantaraan, Bandar Seri Begawan pada 8 April 2020 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 454 menceroboh rumah di waktu malam untuk melakukan curi dan Seksyen 379 iaitu mencuri, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Hasil daripada sebutan kes, Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 2 tahun serta 1 sebatan terhadap tertuduh pertama dan bagi tertuduh kedua pemenjaraan selama 2 tahun 4 bulan beserta 1 sebatan. Hukuman berkuatkuasa bermula pada tarikh 8 April 2020. 

PPDB mengingatkan kepada orang ramai untuk lebih berjaga-jaga dan meningkatkan langkah keselamatan terutama sekali memastikan pagar, pintu dan jendela rumah dalam keadaan tertutup dan berkunci dengan kunci yang kukuh, juga disarankan untuk memasang sistem penggera dan juga sistem kamera CCTV bagi mengelakkan dari menjadi mangsa kejadian jenayah. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​