SUNGAI LIANG, Sabtu 2 Mei 2020 – Sebanyak empat (4) kertas penyiasatan berkaitan aduan curi melibatkan seorang warga tempatan telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan pada hari ini. 

Daripada kumpulan maklumat dan risikan yang dijalankan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), keanggotaan Balai Polis Sungai Liang telah berhasil menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dengan laporan kes-kes kehilangan sebuah kereta Toyota Kijang, sebuah Basikal, tong gas dan barang-barang kantin sekolah. 

Suspek bernama Jamal bin Yunus berumur 49 tahun dan tidak bekerja menghadapi 3 pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu curi. 

Hasil daripada sebutan kes, tertuduh telah tidak mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan pihak Mahkamah Tinggi mengarahkan suspek untuk ditahan reman di Penjara Maraburong bermula pada hari ini 2 Mei 2020 sehingga perbicaraan seterusnya pada 14 Mei 2020. Permohonan suspek untuk diikat jamin mahkamah ditolak kerana suspek telah melanggar syarat ikat jamin sebelum ini. 

Di kesempatan ini, PPDB ingin menekankan mengenai kesan jenayah yang besar terhadap suasana serta kualiti hidup masyarakat dan negara. Secara fitrahnya, semua golongan masyarakat dan negara memerlukan kesejahteraan, ketenteraman dan keamanan hidup.  

Namun, jenayah bukan sahaja memudharatkan mangsa, membawa kebimbangan dan rasa takut dalam hidup masyarakat setempat bahkan akan menjejaskan keamanan dan pembangunan negara. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI