BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 9 Mei 2019 – Dua orang lelaki diberkas kerana dipercayai terlibat dengan 5 laporan kes curi bersiri melibatkan curi telefon bimbit yang berlaku di beberapa lokasi di Daerah Brunei Muara. 

Modus operandi kedua-dua suspek dengan membuat perundingan jual beli telefon bimbit melalui platform media sosial ‘Facebook’ kemudian membuat perjumpaan dengan penjual dan seterusnya mengatur strategi untuk membawa lari telefon bimbit berkenaan. 

Hasil pemantauan yang dijalankan oleh anggota Special Duties Balai Polis Berakas telah berjaya memberkas 2 orang suspek yang merupakan dalang utama kepada kejadian curi ini. 

Suspek pertama merupakan seorang penduduk tetap bernama Han Yan Seaw berumur 27 tahun dan tidak bekerja. 

Suspek kedua warganegara tempatan bernama Lim Chze Hau berumur 39 tahun dan bekerja sendiri. 

Kedua-dua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini 13 Mei 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 kerana melakukan curi. 

Tertuduh pertama Han Yan Seaw telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 6 bulan yang bermula pada tarikh 13 Mei 2019. 

Tertuduh kedua Lim Chze Hau tidak mengaku bersalah dan telah menetapkan bagi perbicaraan selanjutnya pada 27 Mei 2019. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengingatkan dan menegaskan kepada orang  ramai agar lebih peka dan berhati-hati dengan kegiatan jenayah sedemikian serta jangan mudah terjerumus dan percaya kepada si pembeli dengan mudah kerana ianya mungkin sahaja perangkap yang akan mendatangkan kerugian. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS  

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI