BERAKAS, Khamis 4 April – Pada 2 April 2019, Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan 2 orang suspek warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian di tempat yang berasingan iaitu di Simpang 311 & Simpang 200, Jln Pasir Berakas, Kg. Terunjing.
Tertuduh yang terlibat bernama Mohammad Hafiz bin Tanjong berumur 30 tahun dan tidak bekerja manakala seorang lagi adalah lelaki warga tempatan di bawah umur dan tidak bersekolah.
Pada hari ini 4 April 2019, kesemua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan atas kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu curi di luar bangunan premis perniagaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh akan dihukum penjara dalam suatu tempoh yang boleh sampai 3 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Hasil daripada sebutan kes, kedua-dua tertuduh telah mengaku bersalah di mana tertuduh pertama Mohammad Hafiz direman di Penjara Maraburong sehingga 8 April bagi menantikan jatuh hukum dan manakala tertuduh kedua direman di Kompleks Rumah Kebajikan JAPEM dan sebutan kes selanjutnya pada 2 Mei 2019.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
