SABTU, 11 Julai 2020 – Bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif mencegah jenayah dan meningkatkan persepsi keselamatan kampung beberapa Balai Polis giat menjalankan program pendekatan serta rondaan melalui penglibatan Pengawasan Kejiranan yang dikelolai oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Selain pendekatan ke rumah ketua kampung turut dikongsikan cadangan dan saling bertukar pendapat mengenai hal ehwal kampung di antara Pemangku Ketua Kampung Kulapis, Yang Mulia Mohammad Asyramisyanie bin Kamis bersama Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Abdul Hakim Ansyari bin Abdul Rahman beserta tiga orang anggota Balai Polis Sengkurong. 

Sementara itu, permuzakarahan yang dijalankan oleh Focal Point Balai Polis Berakas diketuai Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Muhammad Alif bin Haji Musa disambut baik oleh Yang Mulia Awang Haji Julkepli bin Haji Ibrahim selaku Pemangku Ketua Kampung Kawasan 4, RPN Rimba bagi membincangkan perkara-perkara berhubung kait dengan statistik jenayah yang kerap berlaku dan untuk penubuhan baharu ahli PK di kampung tersebut. 

Manakala Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Hjh Nur Azhani bte Hj Johaiani mengetuai lawatan ke rumah Pemangku Ketua Kampung RPN Serasa, Yang Mulia Abd Hamid bin Hj Zinin@Zainin turut mengongsikan beberapa perkara seperti saranan serta tindakan perkongsian jenayah dan yang berkaitan dengan keselamatan kawasan kampung. 

Bukan sahaja itu malah dalam memastikan hubungan silaturahim dan kerjasama sentiasa ditingkatkan, ketua-ketua kampung di bawah Mukim Serasa turut serta berganding bahu bersama pegawai balai, keanggotaan Balai Polis Muara dan Pulau Muara Besar diketuai oleh Pegawai Keselamatan Pulau Muara Besar, Penolong Penguasa Polis (ASP) Fadhillah Haji Ibrahim dalam aktiviti riadah menaiki Bukit Tempayan Pisang. 

Tidak ketinggalan juga, rondaan pencegahan jenayah yang dijalankan di kawasan Pasar Aneka Seria bagi memastikan penjaja mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Di sepanjang rondaan bersama Yang Mulia Haji Saidin bin Haji Ibrahim selaku Pemangku Penghulu Mukim Seria & Ketua Kampung STKRJ Lorong 3 Seria dan enam orang ahli PK STKRJ Seria yang diketuai Pegawai Menguasa Balai Polis Seria, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Syed Md Afidzul Azeez bin Sheikh Haji Abu Bakar tidak ada menemukan dan mendapati sebarang kejadian yang mencurigakan atau berunsur jenayah.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI