GADONG, Rabu 21 Ogos 2024 – Jawatankuasa Sambutan Penubuhan Polis Wanita ke 50 Tahun telah mengadakan Kempen Derma Darah Sempena Sambutan Jubli Emas Penubuhan Polis Wanita bertempat di Stadium Hassanal Bolkiah Polis, Ibu Pejabat Polis Gadong.

Kempen Derma Darah pada tahun ini bertemakan “1 pint can save 3 lives” berhasrat untuk mewujudkan rasa kasih sayang serta menanamkan sifat beramal jariah dengan menambahkan simpanan tabung darah negara dari sumbangan tersebut.

Seramai 110 orang penderma telah turut serta yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan anggota pangkat rendah Pasukan Polis Diraja Brunei beserta orang awam.

Kempen seumpama ini adalah bertujuan untuk memupuk nilai murni dalam diri dan sebagai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat yang memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua penderma dan penerima. Selain itu, kempen ini juga dapat meningkatkan kesedaran tentang manfaat menderma darah terhadap kesihatan dan tubuh badan penderma.

Justeru itu, adalah disarankan untuk bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perpaduan dalam langkah memastikan bekalan darah mencukupi dan selamat, melalui aktiviti-aktiviti pendermaan darah secara sukarela yang berterusan. Hanya dengan ini, akses kepada bekalan darah yang mencukupi akan dapat terus dinikmati oleh pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan darah yang selamat dan tepat pada masanya.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI