BRUNEI MUARA, Sabtu, 21 Mac 2026 – Satu kemalangan jalan raya telah berlaku di kawasan berhampiran Jambatan Mengkubau, Jalan Utama Mentiri di waktu malam yang melibatkan sebuah kereta dan sebuah basikal.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima panggilan kecemasan melalui talian 993 kira-kira pada jam 10.10 malam memaklumkan mengenai kejadian tersebut. Sebuah kereta dipercayai telah melanggar seorang penunggang basikal.
Mangsa pada masa ini sedang dirawat di hospital RIPAS setelah mengalami kecederaan di bahagian kepala, paru-paru dan tulang belakang.
Pemandu kenderaan berkenaan merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 32 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu tersebut memiliki lesen memandu yang sah serta mempunyai cukai jalan dan insurans yang masih berkuat kuasa.


Menurut siasatan awal, pemandu yang pada ketika itu berada di lorong kiri dipercayai hendak memasuki simpang ke arah jambatan sebelum melanggar mangsa yang sedang menunggang basikal di kawasan garisan putih pembahagi jalan. Pemandu dipercayai tidak menyedari kehadiran mangsa berikutan keadaan jalan yang gelap.
Siasatan lanjut juga mendapati mangsa tidak memakai topi keledar dan lampu basikal mangsa tidak berfungsi semasa kejadian.
Kedua-dua kenderaan telah dibawa ke Balai Polis Muara bagi tujuan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan orang ramai, khususnya penunggang basikal, agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya. Penunggang basikal adalah dinasihatkan supaya memakai topi keselamatan yang diperakui serta melengkapkan diri dengan peralatan berbasikal yang sesuai dan memenuhi piawaian keselamatan.
Selain itu, basikal hendaklah dipastikan berada dalam keadaan baik dan dilengkapi dengan lampu hadapan dan belakang yang mencukupi serta lampu isyarat berkelip bagi memastikan ia jelas kelihatan oleh pengguna jalan raya yang lain, terutamanya pada waktu malam atau dalam keadaan pencahayaan rendah. Langkah-langkah ini amat penting dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan keselamatan semua pihak di jalan raya.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
