BELAIT, Isnin 14 Oktober 2024 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan satu kejadian kemalangan jalan raya telah berlaku tadi pagi dan telah meragut nyawa seorang pemandu kereta lelaki warganegara tempatan.
Balai Polis Sg.Liang telah menerima panggilan kecemasan tersebut melalui talian kecemasan 993 pada 14 Oktober 2024 sekitar jam 10.30 pagi tadi berhubung satu kejadian kemalangan maut yang berlaku di kawasan Telisai hala Kuala Belait KM 38.2.
Sejurus maklumat diterima, pihak polis segera ke tempat kejadian dan hasil daripada siasatan awal mendapati insiden berkenaan telah melibatkan kemalangan sebuah kereta sedan dan sebuah lori. Ahli paramedik bertugas yang hadir membuat pemeriksaan turut mengesahkan bahawa pemandu yang terhumban telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa dipercayai berdiri di sebelah kenderaannya apabila kenderaannya berhenti di bahu jalan lebuhraya. Siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.
Oleh yang demikian, dipohonkan kepada orang ramai dan saksi mata yang telah menyaksikan insiden kemalangan berkenaan untuk tampil ke mana-mana balai polis ataupun menghubungi talian kecemasan polis 993 bagi membantu siasatan.
Di kesempatan ini, PPDB ingin menasihati kepada pengguna-pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati dan peka semasa memandu dan sentiasa menitikberatkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di jalan raya.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
