BRUNEI MUARA, Khamis 20 April 2023 – Pasukan Polis Diraja Brunei menerima panggilan kecemasan pada 20 April 2023 sekitar jam 9.25 pagi memaklumkan mengenai satu kemalangan jalanraya yang melibatkan sebuah motosikal dan juga sebuah kenderaan berlaku di kawasan Jalan Tutong Kg Kilanas, Daerah Brunei Muara.
Sejurus maklumat diterima, Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.Setibanya di tempat kejadian sebuah kenderaan dan sebuah motosikal terbakar keseluruhannya.
Dalam kejadian berkenaan, penunggang motosikal telah mendapat kecederaan dan masih dalam rawatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, manakala pemandu kenderaan terbabit tidak mendapat kecederaan.
Pada ketika ini pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca kejadian sebenar.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan kepada para pengguna jalanraya agar sentiasa peka akan had kelajuan yang dipandu dan sentiasa fokus dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap jalanraya dan kawasan persekitaran.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
