BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 13 Disember 2018 – Cawangan ‘B’ telah menjuarai Kejohanan Sukan Olahraga antara Cawangan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) Kali Ke-32 Tahun 2018 yang berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong, petang tadi. 

Berikutan kejuaraan tersebut, Cawangan ‘B’ juga diumumkan sebagai johan cawangan terbaik keseluruhan dengan mengumpul sebanyak sembilan pingat emas, dua perak dan sepuluh gangsa, diikuti dengan Naib Johan yang disandang oleh Cawangan ‘D’ manakala tempat ketiga ialah Cawangan ‘A’.  Di samping itu, acara perbarisan lalu dijuarai oleh Cawangan ‘E’.   

Hadir selaku tetamu kehormat pada kejohanan ini ialah Yang Mulia Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam. 

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pengarah-Pengarah Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Para Pegawai dan anggota PPDB yang menyertai kejohanan ini.   

Aturcara kejohanan dimulakan dengan perbarisan lalu lima cawangan yang bertanding iaitu Cawangan A, B, C, D dan E, di mana perbarisan lalu diketuai oleh Penolong Penguasa Polis, Mohammad Fadhillah bin Haji Ibrahim. 

Staf Sarjan 2765 Awang Mohd Nadrin dari Cawangan ‘D’ telah berjaya mengumpul tiga pingat emas dan seterusnya diumumkan sebagai penerima Piala Olahragawan Tahun 2018, manakala Sarjan Wanita 2957 Alinawati binti Haji Aliakbar dari Cawangan ‘B’ telah berjaya mengumpul tiga emas dan satu gangsa seraya diumumkan sebagai penerima Piala Olahragawati dan diberi Anugerah Khas Tahun 2018.   

Pada tahun ini, sebanyak 26 acara sukan balapan dan padang terbuka dipertandingkan dan seramai 170 atlet lelaki dan 44 atlet wanita menyertai kejohanan yang mempertandingkan sebanyak 78 pingat.   

Adapun tujuan utama kejohanan diadakan ialah bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan keakraban di kalangan anggota-anggota Pasukan Polis Diraja Brunei. 

Dikeluarkan Oleh :  

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI