TEMBURONG, 14 FEB 2026 – Kejohanan Rentas Desa Cawangan C1, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), bagi tahun 2026 telah berlangsung pada pagi tadi di Kompleks Sukan Batu Apoi, Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong.

Kejohanan tersebut mempertandingkan tiga kategori iaitu Kategori Veteran Lelaki 5 kilometer, Kategori Terbuka Lelaki 10 kilometer dan Kategori Lelaki Berpasukan. Penyertaan melibatkan tiga pasukan iaitu Pasukan Simpanan Polis C Kompeni (Polis Hutan), Polis Marin (PolMar) dan Daerah Polis Temburong (DP Temb).

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Supt. Kasnol Bin Haji Muhammad Kincho, Pegawai Pemerintah Polis Marin merangkap Pengerusi Badan Kebajikan dan Sukan Cawangan C1. Turut hadir ialah pegawai-pegawai daripada Badan Kebajikan dan Sukan Cawangan C1. Sempena kejohanan tersebut, Tetamu Kehormat turut menyertai aktiviti senaman aerobik serta hiking sejauh 1.5 kilometer bersama para jemputan.

Bagi kategori berpasukan, Pasukan Simpanan Polis C Kompeni (Polis Hutan) muncul sebagai juara keseluruhan dan berjaya membawa pulang Piala Pusingan Kejohanan Rentas Desa Cawangan C1 Tahun 2026.

Dalam Kategori Terbuka Lelaki 10 kilometer, tempat pertama dimenangi oleh LKpl 6666 Adrian Andrew Sungkoi (Polis Hutan), diikuti tempat kedua oleh LKpl 6719 Haji Muhd Shamsulariffin Bin Haji Salleh (Polis Hutan) dan tempat ketiga oleh LKpl 5932 Ali Akbar Bin Ali Hashim (PolMar).

Bagi Kategori Veteran Lelaki 5 kilometer pula, tempat pertama disandang oleh APO LKpl 5975 Alexander Chung Kwei Ming (Polis Hutan), tempat kedua oleh APO LKpl 5843 Haji Mohd Nasruddin Bin Abdullah (Polis Hutan) dan tempat ketiga oleh LKpl 6681 Bohari Bin Hassan (Polis Hutan).

Kejohanan ini dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Bahagian Sukan, Badan Kebajikan dan Sukan Cawangan C1 Sesi 2025–2026. Penganjuran tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai dan anggota pangkat rendah di bawah Cawangan C1, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui penglibatan aktif dalam kegiatan sukan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI