KUALA BELAIT, SABTU 13 DISEMBER 2025 – Daerah Polis Belait telah menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sepasukan yang berlangsung pada hari Sabtu, 13 Disember 2025 bertempat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat adalah Pemangku Pengarah Gerakan, Yang Mulia ACP Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah yang turut menyemarakkan majlis penutupan dan penyampaian pingat dan piala.
Kejohanan ini telah melibatkan sepuluh pasukan, antaranya pasukan IPD Belait, Balai Polis Sungai Liang, Balai Polis Labi, Balai Polis Seria, Balai Polis Panaga, RU’A, OPSO, Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Pegawai serta pasukan undangan dari Jabatan Daerah Belait. Dalam kejohanan tersebut, Pasukan Jabatan Daerah Belait muncul sebagai johan keseluruhan, diikuti dengan Pasukan IPD Belait sebagai naib johan manakala Pasukan Balai Polis Panaga menduduki tempat ketiga.
Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim, memupuk semangat kesukanan serta memperkukuhkan kerjasama antara warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). Sehubungan dengan ini, Daerah Polis Belait mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh peserta atas semangat sukan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan berlangsung.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
