GADONG, Jumaat, 23 Ogos 2024 – Jawatankuasa Sambutan Penubuhan Polis Wanita ke 50 Tahun yang telah dikendalikan oleh Jawatankuasa Sukan telah mengadakan Kejohanan Bola Jaring Sempena Sambutan Jubli Emas Penubuhan Polis Wanita di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong.
Pasukan-pasukan yang mengikuti kejohanan tersebut adalah Agensi-agensi Penguatkuasa Undang-Undang iaitu Biro Kawalan Narkotik (BKN), Biro Mencegah Rasuah (BMR), Jabatan Imigresen dan Pendafaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Pejabat Peguam Negara termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Pasukan daripada PPDB telah muncul juara kejohanan setelah mengalahkan pasukan dari BKN pada perlawanan akhir dengan jarigan 4-13. Manakala Pejabat Peguam Negara telah mendapat tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah pada kejohanan tersebut Pemangku Komandan Pusat Latihan Polis, Yang Mulia Penguasa Polis Hajah Mariyani binti Haji Abd Wahab.
Matlamat utama kejohanan bola jaring ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di samping meningkatkan kerjasama di antara agensi-agensi penguatkuasa undang-undang selain mewujudkan semangat kesukanan serta persaingan yang sihat.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
