Brunei Muara, Selasa, 31 Mac 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), melalui Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat (USPPPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), telah berjaya menahan seorang wanita tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam satu operasi serbuan yang dijalankan di kawasan Sengkurong.
Serbuan tersebut dijalankan pada kira-kira jam 4.28 petang tadi hasil maklumat orang ramai serta pemantauan pihak polis. Operasi berkenaan melibatkan seramai sembilan (9) anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah yang diketuai oleh Pemangku Ketua USPPPM JSJ, ASP Norsuraya binti Haji Marusin.
Dalam serbuan yang dijalankan di sebuah bilik sewa di Jalan Paya Bunga Merah, Sengkurong, pihak polis telah menahan seorang wanita warganegara tempatan berumur 39 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di bilik berkenaan.
Turut dirampas adalah beberapa barang yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan tersebut. Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Pejabat USPPPM JSJ bagi membantu siasatan lanjut.


Kes ini disiasat di bawah Seksyen 294A Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.
Sehubungan itu, PPDB ingin mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dan norma kesusilaan negara. Orang ramai juga diseru untuk terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan mencurigakan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
