BRUNEI MUARA, Isnin 9 Mac 2020 – Kegiatan perjudian ditumpaskan dengan penahanan seramai 10 orang suspek yang terdiri daripada 8 lelaki dan 2 wanita melibatkan warganegara tempatan dan penduduk tetap dalam satu serbuan di salah sebuah rumah kediaman di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kg Rimba, malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun dipercayai sedang leka bermain judi katam-katam dan daun terup.
Hasil daripada Intipan dan risikan yang telah dijalankan telah mengaktifkan sepasukan keanggotaan daripada Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat bersama Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sehingga berhasil menjalankan serbuan serta penangkapan pada malam tersebut.
Melalui serbuan itu juga, pihak polis telah berjaya merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian seperti dadu, wang tunai, kain untuk permainan katam-katam. Turut ditemui beberapa botol dan tin minuman keras pelbagai jenama.

Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi menjalani siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.
Pasukan Polis Diraja Brunei menegaskan kegiatan judi merupakan racun masyarakat yang berleluasa dan berpengaruh secara meluas hingga merosak masa depan keluarga dan tamadun.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
