BRUNEI DAN MUARA, Ahad 17 Mac 2019 – Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berhasil melumpuhkan kegiatan perjudian katam-katam di dalam hutan berdekatan Pantai Jerudong.
Serbuan yang dijalankan telah berhasil menahan 10 orang lelaki dan (2) dua orang perempuan yang terdiri dari warganegara tempatan, penduduk tetap dan warganegara Indonesia.
Pihak polis juga menemukan pondok kayu, peralatan-peralatan judi dan sejumlah wang tunai yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi tersebut.
Semua tangkapan serta barang-barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.
Kes siasatan ini disiasat di bawah Seksyen 6 (1) kesalahan bermain judi, Akta Rumah Judi terbuka Penggal 28.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini.
Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
