SERIA, Rabu 14 Ogos 2019 – Berikutan perkongsian maklumat daripada orang ramai, Balai Polis Seria, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil menahan seorang warganegara Indonesia kerana disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian 4 digit loteri (4D) di alamat No. 55, Jalan Bunga Kuning Seria. 

Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati wanita berkenaan dipercayai ada terlibat menjalankan kegiatan mengutip slip taruhan perjudian 4D daripada pembeli-pembeli loteri. 

Suspek bernama Siti Rohmayati berumur 41 tahun dan bekerja sebagai pelayan kedai makanan. 

Pihak Polis juga telah merampas beberapa keratan kertas yang tertulis nombor-nombor yang dipercayai digunakan untuk perjudian. Suspek berserta bahan bukti dibawa ke Balai Polis Seria untuk siasatan lanjut. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28. 

Pasukan Polis Diraja Brunei mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas maklumat dengan kegiatan tersebut dan menyarankan kepada orang ramai untuk mengongsikan maklumat mengenai kegiatan-kegiatan yang mencurigakan kepada pihak Polis atau ke talian kecemasan Polis 993. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI