SERIA, Isnin 5 Ogos 2019 – Satu kegiatan curi berjaya terbongkar hasil daripada maklumat yang diperolehi daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berlaku pada 03 Ogos 2019 di sebuah rumah kediaman di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lorong 3, Seria.
Hasil daripada siasatan awal mendapati seorang suspek dipercayai telah menceroboh masuk ke halaman kawasan rumah mangsa dan kemudiannya membawa keluar satu bakul buah yang berisi buah durian daripada stor rumah mangsa dan segera meninggalkan rumah tersebut.
Kejadian segera dilaporkan ke Balai Polis Seria dan telah berhasil menahan seorang suspek lelaki bagi siasatan lanjut bernama Mohammad Shahmir bin Bujang berumur 44 tahun dan tidak memiliki sebarang pekerjaan.
Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu kesalahan melakukan curi.
Hasil daripada sebutan kes dan Pihak Mahkamah telah meluluskan permohonan reman bagi siasatan lanjut sehingga tarikh perbicaraan selanjutnya pada 13 Ogos 2019.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) amat menghargai bantuan dan sokongan orang ramai dalam perkongsian dan penyaluran maklumat apa jua jenis kegiatan negatif bagi tujuan pengesanan, pencegahan dan pembendungan berkaitan dengan kegiatan-kegiatan jenayah.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
