MUARA, Selasa 10 Sept 2019 – Pada 8 September 2019, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah berjaya menahan 2 buah kapal nelayan warga asing beserta anak buah kapal semasa rondaan Maritim dijalankan di dua (2) lokasi yang berasingan di kawasan perairan Negara Brunei Darussalam. 

Kedua buah kapal tersebut telah diiring oleh TLDB ke perairan Muara dan diserahkan kepada Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi tindakan lanjut. 

Siasatan yang dijalankan mendapati seramai 27 orang lelaki warganegara Viet Nam berumur lingkungan 15 hingga 51 tahun berada di kapal berkenaan. Hasil pemeriksaan ke atas kapal juga telah menemukan peralatan-peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan yang dipercayai dilakukan di kawasan perairan Negara Brunei Darussalam.

 Di bawah Seksyen 17 (1) Perintah Perikanan, 2009, Jika sabit kesalahan pengemudi kapal tersebut akan dikenakan denda tidak melebihi BND$100, 000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.   Manakala bagi anak-anak kapal berkenaan akan dikenakan denda tidak melebihi BND$2,500 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.   

Walaubagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan Pihak Polis. 

PPDB menyarankan kepada orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama dalam penyaluran maklumat berkaitan kegiatan-kegiatan mencurigakan yang berlaku di perairan negara ini melalui talian kecemasan 993. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI