BRUNEI MUARA, Isnin 7 Januari  2019 – Bagi memastikan kesejahteraan serta pencegahan jenayah dilaksanakan di kawasan kampung, ahli Fokal Point Daerah Brunei Muara telah menggiatkan aktiviti pencegahan jenayah pada tahun baru 2019 ini dengan membuat rondaan bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung setempat. 

Dua (2) rondaan berasingan telah dijalankan oleh ahli-ahli Fokal Point. Rondaan pertama dimulakan di kawasan kampung Mata-Mata, Mukim Gadong B. Mewakili Balai Polis Pusat, BSB seramai 5 orang anggota diketuai oleh Sarjan Mejar 3096 Pg Noorhasni dan 5 ahli PK kampung dihadiri oleh Yang Mulia Pg Hj Mohd Salleh bin Pg Hj Abd Rahman, Ketua Kg Perpindahan Mata-Mata Gadong. 

Rondaan kedua dijalankan di kawasan Kg Bebuloh, Limau Manis dengan penglibatan anggota Balai Polis Limau Manis dan Ahli PK seramai 3 orang yang diketuai oleh Koperal 4044 Pg Md Iskandar. Rondaan dijalankan di persekitaran kampung, rumah kediaman serta persimpangan-persimpangan jalan. 

BELAIT – Pengawasan Kejiranan (PK) Balai Polis Labi baru-baru ini juga telah menjalankan aktiviti rondaan dan pendekatan ke Rumah Panjang Mendaram Besar bersama Ketua Kg Labi II, Yang Mulia Hj Matussin bin Matzin bersama Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Inspektor Mohd Nazmi bin Hj Ismail. 

Dalam pada itu, Balai Polis Kuala Belait juga turut menggiatkan rondaan ke Kampung Pandan B yang disertai oleh seramai 9 anggota balai dan ahli PK kampung yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Kuala Belait, Penolong Penguasa Polis, Mohammad Fadhillah Bin Haji Ibrahim dan Yang Mulia Haji Abd Malik bin Haji Abu Bakar, Ketua Kampung Pandan B Kuala Belait. 

Rondaan mensasarkan di kawasan-kawasan sekolah, rumah kediaman serta premis perniagaan dan bangunan komersil dibawah jagaan Ketua Kampung Pandan B. 

Dengan aktiviti rondaan seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi kewaspadaan masyarakat dalam sama-sama memastikan keselamatan di kawasan kampung bebas jenayah hasil bantuan kerjasama daripada ahli-ahli PK. 

Dikeluarkan Oleh :  

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI