BRUNEI MUARA, Isnin 31 Ogos 2020 – Antara lain objektif rondaan dijalankan adalah bagi memastikan para pengguna jalanraya untuk sentiasa patuh, mengikuti peraturanperaturan yang telah diperuntukan di samping menjalankan tugasan memantau, mencegah malah menahan sebarang perilaku yang melanggar undang-undang di negara ini.
Satu penahanan telah dibuat hasil daripada rondaan rutin yang dijalankan oleh keanggotan Jabatan Siasatan Dan Kawalan Lalulintas pada sekitar jam 1 pagi di kawasan Jalan Tutong, Kilanas.
Adapun penahanan tersebut melibatkan sebuah kenderaan bersama pemandunya yang merupakan seorang perempuan warga tempatan berumur 26 tahun atas kesalahan memandu kenderaan yang dipasang lampu biru di bahagian hadapan.
Siasatan lanjut mendapati pemandu tersebut tidak mempunyai lesen memandu yang sah, cukai jalan mansuh beserta beberapa kesalahan yang lain.
Sejurus pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas kenderaan berkenaan juga telah menemukan perkakas yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah. Pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) segera dihubungi bagi menjalankan siasatan dan mengambil alih penyiasatan kes.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas akan sentiasa berusaha dan tidak akan kendur-kendur dalam menanai serta melaksanakan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan demi memastikan penduduk negara ini celik dan peka terhadap keselamatan di jalanraya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
