GADONG, Khamis, 11 Disember 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Jerayawara Mengukuhkan Ukhuwah Pengawasan Kejiranan selama dua hari bertempat di The Rizqun International Hotel, Gadong yang diakhiri dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil kepada 60 orang peserta. Jerayawara tersebut adalah berkesinambungan dengan Kursus Asas Pengawasan Kejiranan yang pernah diadakan sebelum ini di keempat-empat Daerah.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Penguasa Kanan Polis Hamydon bin Haji Ibrahim dan turut dihadiri oleh para pegawai dan anggota Daerah Polis Brunei Muara dan Unit Perhubungan Awam, PPDB selaku Urus Setia PK.
Jerayawara kali ini berbeza kerana selain daripada dihadiri oleh Penghulu, Ketua-Ketua Kampung dan penduduk di bawah tadahan Daerah Brunei Muara, ianya turut dikolaborasi bersama dengan pihak swasta dan juga dihadiri oleh anggota-anggota sekuriti dan kakitangan perniagaan The Mall Gadong.
Turut sama menjayakan jerayawara ini selain daripada taklimat pegawai-pegawai PPDB, adalah penglibatan pegawai-pegawai agensi-agensi keselamatan iaitu Pejabat Peguam Negara, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei, dalam menyampaikan taklimat masing-masing.
Objektif jerayawara adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman secara lebih terperinci mengenai tugas-tugas dan undang-undang sebagai ahli PK, yang mana disamping itu para peserta diberikan kesedaran mengenai tindakan-tindakan yang perlu diambil apabila menghadapi sebarang insiden berdasarkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
Jerayawara seperti ini diharapkan supaya akan dapat memberi sedikit sebanyak impak untuk menjadi pemangkin kepada para peserta bagi mencapai hasrat dan matlamat PK dalam bersama-sama mencegah, membanteras dan memerangi jenayah di negara ini.







Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
