BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 14 Februari 2019 – Dengan harapan untuk menyuntik semangat dan pengetahuan kepada para belia dan beliawanis di negara ini mengenai pentingnya menjaga keselamatan dan ketenteraman, satu rondaan pencegahan jenayah dibawah program Pengawasan Kejiranan (PK) telah dikendalikan semalam oleh Daerah Polis Brunei Muara bersama Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di empat (4) tempat berasingan di kawasan Bandar Seri Begawan. 

Seramai 4 orang ahli belia daripada Belia Generasi Bekarih,  3 orang ahli Belia Surau Kampong Mata-Mata  serta 13 anggota Focal Point PK yang diketuai oleh Pegawai Perhubungan 1, Ketua Inspektor (C/Insp) Kifli bin Hj Daud memulakan aktiviti rondaan dengan taklimat dan penerangan mengenai Objektif PK dan Matlamat rondaan bertempat di Bilik Gerakan Balai Polis Pusat BSB. 

Rondaan telah dibahagikan kepada 2 kumpulan dimana tumpuan adalah di kawasan  Bangunan Puteri-Puteri, Kawasan Tamu Kianggeh, Pusat Bandar. Rondaan yang bermula pada jam 10 malam itu berakhir pada lewat malam tanpa ada sebarang kegiatan yang mencurigai dan menyalahi undang-undang ditemui. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui program PK, percaya dengan usaha dan penglibatan para belia ini dapat mendidik dan memberikan pengalaman secara praktikal dalam mengetahui lebih dekat lagi akan perihal persekitaran mereka. Di samping itu, ianya juga membantu pembangunan minda yang sihat dalam mengetahui kegiatan-kegiatan jenayah dan kesan daripada melakukannya. 

Pembentukan awal adalah merupakan inisiatif yang bertepatan dalam membentuk para belia dan beliawanis untuk menjadi tongak dan pemimpin negara dalam berdepan cabaran kehidupan masa kini dan akan datang. 

Dikeluarkan Oleh :  

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI