GADONG, Rabu 5 Februari 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Besar, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menumpaskan satu sindiket jenayah penipuan duit di beberapa buah kedai di negara ini.

Pihak PPDB telah menjalankan siasatan setelah menerima laporan kejadian di Kuala Belait yang berdasarkan rakaman video CCTV yang tular di media sosial. Hasil siasatan tersebut membawa kepada penahanan dua warga asing dari sebuah negara di Timur Tengah, masing-masing berusia 62 dan 72 tahun, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ketika mereka cuba meninggalkan negara ini.

Modus operandi suspek adalah dengan teknik mengelirukan pekerja juruwang di kaunter-kaunter kedai dengan cara mengunakan duit BND$100 untuk membuat pembelian kecil dan seterusnya menggunakan helah tertentu bagi mengalihkan perhatian juruwang semasa transaksi berkenaan dilaksanakan, yang kemudiannya memberi peluang kepada mereka untuk mengambil wang tunai tanpa disedari.

Setakat ini, sebanyak 10 kes melibatkan suspek yang sama telah dilaporkan di daerah Brunei-Muara, Tutong, dan Belait, yang mana dipercayai membawa kerugian wang tunai melebihi 5 ribu ringgit. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 atas kesalahan menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan. Kedua-dua suspek ditahan reman bagi siasatan lanjut.

Sehubungan itu, pihak berkuasa menasihatkan pemilik kedai dan juruwang agar sentiasa berwaspada terhadap individu yang menunjukkan tingkah laku yang mencurigakan, terutamanya ketika berurusan dengan wang tunai dalam jumlah besar. Sikap berwaspada serta kerjasama orang ramai dalam melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan dapat membantu mencegah jenayah seperti ini daripada terus berlaku.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI