GADONG, Sabtu 13 Jun 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menghadapkan satu kes tangkapan mengenai satu insiden pelanggaran kesalahan dibawah Akta Penyakit Berjangkit, Penggal 204 yang melibatkan sekumpulan lelaki dan perempuan seramai 20 orang yang telah dipercayai mengadakan pesta hiburan di salah sebuah bilik hotel penginapan di kawasan Berakas.
Kertas siasatan telahpun dibuka dan siasatan lanjut dijalankan di mana kegiatan yang dilakukan telah melanggar arahan kerajaan dalam suasana negara membanteras penyebaran wabak COVID-19 ini.
Siasatan Pihak Polis juga mendapati penemuan barangan tegahan seperti dadah, minuman keras dan juga rokok di tempat kejadian.
Hasil daripada keputusan Pihak Mahkamah, kesemua 20 orang tertuduh telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 269 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Perbuatan Cuai yang Mungkin Merebakkan Jangkitan Penyakit yang Membahayakan Nyawa.
Di samping itu,12 orang tertuduh yang ditahan termasuk seorang pesalah juvana telah didapati positif dadah jenis Ganja dan Ecstasy dan kesemua mereka telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 6 (b) dan 7 Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27.
• Tertuduh pertama dikenakan hukuman pemenjaraan selama 4 bulan dan denda sebanyak $1500, jika gagal akan dikenakan pemenjaraan selama 3 bulan.
• Tertuduh ke 2, 5, 10, 12, 15, 17, 19, 20 dikenakan hukuman pemenjaraan selama 2 bulan dan denda sebanyak $1500, jika gagal akan dikenakan pemenjaraan selama 3 bulan.
• Tertuduh ke 4, 7, 11, 13, 14, 18 dikenakan hukuman pemenjaraan selama 2 bulan.
• Tertuduh ke 16 dikenakan hukuman pemenjaraan selama 2 bulan dan denda sebanyak $2500, jika gagal akan dikenakan pemenjaraan selama 5 bulan.
• Manakala 3 tertuduh yang lain merupakan pesalah dibawah umur dan akan dibicarakan di Mahkamah Juvana pada tarikh 17 Jun 2020.
Pihak Kerajaan amat serius terhadap perintah yang telah dikeluarkan berhubung penjarakkan sosial serta larangan mengadakan sebarang aktiviti-aktiviti perkumpulan.
Larangan perintah ini adalah amat penting bagi masyarakat awam bagi memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyokong dan membantu kerajaan dalam perlaksanaan pengekangan penularan wabak COVID-19 ini dengan lebih efektif dan berkesan.
PPDB tidak akan teragak-agak dalam melaksanakan perintah undang-undang yang diarahkan dan sebarang pelanggaran perintah larangan akan dihadapkan ke muka pengadilan bagi menerima hukuman yang setimpal.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
