BRUNEI MUARA, Khamis 19 Mac 2020 – Penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ini telah memberikan kesan dan impak yang besar kepada seluruh penduduk serta kehidupan seharian.
Disebalik usaha kerajaan dalam menangani penularan wabak ini terdapat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menularkan pelbagai maklumat-maklumat palsu yang secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan serta kerisauan yang serius terhadap masyarakat awam.
Terkini, satu berita palsu telah tular di media-media sosial menyatakan Pihak Polis telah mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan dan mengarahkan orang ramai untuk segera pulang ke rumah. Berikutan maklumat ini, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan tegas menafikan dan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sepertinya.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dan tidak terbelenggu dengan sikap mudah mempercayai maklumat yang mencurigakan dan tidak pasti akan kesahihannya.
PPDB dalam situasi penularan wabak COVID-19 yang dihadapi pada masa ini akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan maklumat-maklumat palsu akan diperjelaskan dengan secepatnya bagi mengelak sebarang tanggapan dan sentimen buruk yang boleh sahaja mendatangkan huru-hara kepada masyarakat awam.
PPDB menegaskan bahawa jika didapati sebarang individu yang menyebarkan maklumat palsu akan diambil tindakan undang-undang di bawah Penggal 148 Akta Ketenteraman Awam Seksyen 34 iaitu sesiapa yang sama ada, menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah yang boleh menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh di penjara 3 tahun dan denda sebanyak $3,000.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
