BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 13 Februari 2019 – Skuad Tindakan Segera (STS), Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menahan seorang lelaki yang mencurigakan pada 12 Februari 2019 semasa membuat rondaan di kawasan persekitaran Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampong Mumong, Daerah Belait. 

Suspek Rusazmandi bin Abu Bakar, berumur 34 tahun, Penduduk Tetap telah ditahan oleh Pihak Polis pada sekitar jam 1.50 pagi kerana didapati merayau-rayau dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemukan beberapa pekakas alat pertukangan dan juga gulungan kabel. Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Belait bagi siasatan lanjut. 

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan atas pertuduhan dibawah Seksyen 403 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. Pihak Mahkamah telah memutuskan untuk suspek dilepaskan dengan ikat jamin mahkamah dan sebutan kes selanjutnya pada 26 Februari 2019. 

Dikeluarkan Oleh :  

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI