Ahad, 16 Ogos 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah-Daerah Polis, sentiasa cenderung dan aktif dalam menggerakkan keanggotaan mereka dalam tugasan-tugasan pencegahan jenayah. Ini adalah bertujuan untuk menegakkan peruntukan perundangan yang telah dipertanggungjawabkan selaku salah satu peneraju penguatkuasa undang-undang di negara ini. 

Antara lain inisiatif yang kerap dijalankan oleh PPDB ialah menguatkuasakan undang-undang akta lalulintas dan juga rondaan pencegahan jenayah. 

BRUNEI MUARA – Balai Polis Pusat, Berakas dan Muara telah menjalankan aktiviti rutin menjurus kepada rondaan jenayah dan sekatan jalanraya menumpukan di kawasan-kawasan yang dianggap strategik.  

Rondaan yang dikendalikan oleh keanggotaan Balai Polis Pusat seramai 30 anggota dan pegawai di kawasan-kawasan Bandar Seri Begawan tidak ada menemukan sebarang kejadian mencurigakan. 

Di samping itu, dua (2) sekatan jalanraya yang dibuat oleh Balai Polis Berakas dan Muara menumpukan di kawasan Lebuhraya Tungku Link dan Jalan Muara juga tidak ada mendapati kesalahan-kesalahan yang melibatkan Akta Jalan Raya. 

Kedua-dua operasi berkenaan melibatkan seramai 58 anggota balai itu diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalulintas Daerah Polis Brunei Muara, Pemangku Timbalan Penguasa Polis (Ag. DSP) Kartika bte Haji Abd Rahman bersama Pegawai Jenayah Daerah Polis Brunei Muara (DCO) serta beberapa Pegawai dan Penolong Pegawai Menguasa Balai-Balai Polis. 

LABI – Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Inspektor Percubaan Mohammad Janatun Na’em bin Haji Abd Rahim bersama keanggotaan balai juga turut menjalankan Operasi Sekatan Jalanraya di kawasan Merangking Labi semalam. 

Sekatan dibuat bagi membuat pemeriksaan mengejut serta mengenal pasti kenderaan dan individu-individu yang dipercayai terlibat dengan mana-mana kegiatan jenayah. Walau bagaimanapun, sepanjang sekatan dijalankan tidak ada menemukan kesalahan yang melanggar peruntukan undang-undang di negara ini. 

Peroperasian sedemikian akan terus berjalan secara berterusan bagi memastikan Negara Brunei Darussalam dan masyarakat awam dalam keadaan aman dan sejahtera. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI