BERAKAS, Sabtu 10 November 2018 – Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan dari talian kecemasan 993 pada 10 November 2018 sekitar jam 9.53 malam berhubung pergaduhan yang tercetus di premis perniagaan di kawasan Berakas. Daerah Brunei Muara.

Dalam pada itu, beberapa rakaman video turut tular di media sosial memaparkan pergaduhan yang melibatkan beberapa orang individu dimana ianya turut menimbulkan kekecohan dikalangan pengunjung-pengunjung yang sedang menyaksikan acara kejohanan tinju yang sedang berlangsung di kawasan tersebut.

Berhubung insiden berkenaan, Balai Polis Berakas dengan serta merta telah menjalankan siasatan mengenainya dan pada ketika ini telah berhasil mendapatkan keterangan daripada saksi serta mangsa kejadian . Disamping itu juga, Pasukan Polis sedang berusaha mengesan beberapa individu yang di percayai terlibat untuk membantu siasatan kes ini.

Adalah di nasihatkan kepada orang ramai yang berada di tempat kejadian atau mengetahui tentang kejadian ini disarankan agar dapat tampil bagi memberikan kerjasama kepada Pihak Polis bagi membantu siasatan.

Pasukan Polis Diraja Brunei juga menegaskan bahawa adalah menjadi satu kesalahan dibawah Seksyen 159 (Gaduh Gempar) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu menganggu ketenteraman awam dengan bergaduh di tempat awam dan jika sabit kesalahan boleh di jatuhkan hukuman dibawah Seksyen 160 dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 3 tahun dan denda.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI