GADONG, Khamis 4 April 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan satu forum ugama bersempena sambutan Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad S.A.W bertempat di Auditorium, Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei Jalan Tungku.
Majlis tersebut didahului dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Lans Koperal 6114 Ahmad Zawawi bin Pengarah Haji Ibrahim, Imam Surau Polis Kawalan Diraja.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam. Turut hadir di majlis berkenaan Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan anggota-anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.
Forum Sambutan Isra’ dan Mi’raj bertemakan ‘Islam Menjaga Hak Semua’ diserikan dengan ceramah daripada 2 ahli panel dari Kolej Universiti Perguruan Seri Begawan, Yang Mulia Dr Ustaz Hj Noralizam Bin Hj Aliakbar dan Yang Mulia Dr Ustaz Hj Mikdar Bin Hj Rushdi bersama Pengerusi Forum, Yang Mulia APO Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.
Antara isi forum ialah kisah sejarah dan peristiwa yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sepanjang hayat hidup baginda pada zaman tersebut yang dipenuhi dengan halangan dan rintangan. Namun ketabahan dan kesabaran Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menandakan kemantapan akidah dan ketaqwaan seseorang dan dijadikan sebagai contoh bagi umat islam seluruh dunia.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
