BRUNEI MUARA, Khamis 10 Okt 2019 – Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah melaksanakan Eksesais SEMBILANG bagi siri kali ke 14/2019. Eksesais pada tahun ini dianjurkan oleh Polis Marin, PPDB yang bermula pada 07 Oktober 2019 dan berakhir pada 10 Oktober 2019.
Adapun Eksesais ini pertama kalinya diadakan pada tahun 2000 dan setakat ini telah dilaksanakan sebanyak empat belas (14) siri. Ianya sejajar dalam mendokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam konteks “Whole Nation Approach”.
Upacara Pembukaan Rasmi Eksesais SEMBILANG Siri 14/2019 telah dirasmikan oleh Tetamu Kehormat Majlis, Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan, PPDB, Penguasa Kanan Polis (Snr Supt) Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohd Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris pada 07 Oktober 2019 yang lalu bertempat di Dewan Auditorium, Ibu Pejabat Polis, PPDB Jalan Tungku Gadong.
Eksesais SEMBILANG Siri ke 14/2019 ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada kedua-dua buah agensi, terutamanya dalam kerjasama maritim serta perkongsian tanggungjawab dalam mengekalkan keamanan maritim dan integriti perairan Negara Brunei Darussalam.

Antara aset-aset yang terlibat di dalam Eksesais berkenaan adalah PDB 105 yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Kapal, Insp Abdul Hafizazuddin bin Haji Abdul Wahab. Manakala KDB AFIAT daripada TLDB yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Kapal, Leftenan Komander Haji Abdul Hafiz Mubarak bin Haji Rusli. Kedua-dua buah aset tersebut telah membuat pelayaran ke sekitar Teluk Brunei bagi menjalankan Latihan Rondaan, Latihan Penundaan dan juga Latihan Penggeledahan yang diketuai oleh Grup Tindakan Permukaan Laut, TLDB.
Eksesais SEMBILANG Siri 14/2019 telah ditutup rasmi oleh Tetamu Kehormat Majlis, Pemerintah Armada, Tentera Laut Diraja Brunei Kapten Norshahrinizam bin Haji Talib, TLDB pada 10 Oktober 2019 juga diadakan di Dewan Auditorium, Ibu Pejabat Polis, PPDB, Jalan Tungku Gadong.
Dengan latihan bersama seperti ini kedua-dua buah agensi akan dapat mempertingkatkan lagi kesefahaman dalam melaksanakan operasi-operasi sepadu maritim dari segi aspek perisikan, rondaan dan gerakan bersama. Selain daripada itu eksesais ini juga akan dapat mempertingkatkan keberkesanan dalam pencegahan jenayah yang menyalahi undang-undang maritim Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
