GADONG, Selasa, 17 Februari 2026 – Satu kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kereta dan dua buah basikal telah berlaku pada pagi ini di Lebuhraya Muara-Tutong menghala ke Muara, berdekatan kawasan Pantai Tungku.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menerima panggilan kecemasan melalui talian 993 pada kira-kira jam 7 pagi memaklumkan kejadian tersebut. Sebuah kereta dipercayai telah melanggar dua orang penunggang basikal. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

Pemandu kenderaan tersebut, seorang lelaki warganegara tempatan, didapati tidak mempunyai lesen memandu dan insurans serta cukai jalan kenderaan berkenaan juga didapati mansuh sejak bulan Januari 2026.

Menurut keterangan awal, pemandu mendakwa penglihatannya terganggu akibat pancaran matahari sebelum terdengar dentuman kuat pada bahagian hadapan kenderaan. Kedua-dua mangsa dilaporkan memakai pakaian serta kelengkapan keselamatan berbasikal termasuk topi keledar.

Kenderaan serta kedua-dua basikal telah dibawa ke Balai Polis Sengkurong dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Sehubungan itu, PPDB menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan dengan memberi tumpuan penuh ketika memandu, memperlahankan kenderaan dalam keadaan yang menjejaskan penglihatan seperti silau atau hujan lebat serta mengekalkan jarak selamat. Penunggang basikal juga diseru supaya menggunakan kelengkapan perlindungan yang bersesuaian dan memastikan kedudukan yang selamat semasa di jalan raya. Di samping itu, setiap individu hendaklah memastikan lesen memandu, cukai jalan dan insurans kenderaan adalah sah serta masih berkuat kuasa bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI