BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 12 Mei 2020 – Akibat perlakuan curi ke atas sebuah kedai dan sebuah rumah kediaman, dua (2) orang lelaki warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan hari ini bagi dibacakan pertuduhan.
Siasatan yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Kg Ayer, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah membawa kepada penahanan dua (2) orang suspek bernama Mohd Abdul Hakim bin Mohd Tarip berumur 20 tahun, tidak bekerja (suspek pertama) dan Md Yusra bin Faris berumur 23 tahun, tidak bekerja (suspek kedua) dipercayai terlibat dengan dua (2) kes aduan curi di kawasan Kg Lumapas, BSB.
Daripada siasatan Pihak Polis mendapati suspek pertama telah terlibat dengan kes pertama iaitu kehilangan satu (1) set mesin gerudi jenama Makita beserta bateri dan pengecas. Manakala kes kedua penglibatan suspek pertama dan kedua ke atas kehilangan satu (1) bekas tajau.

Kedua-dua barangan curi telah dijual bagi mendapatkan wang untuk keperluan seperti makanan dan kegunaan peribadi suspek-suspek. Di samping itu, barangan curi telah berhasil dikesan kembali dan dirampas untuk dijadikan bahan bukti.
Hasil daripada perbicaraan, pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan kepada tertuduh pertama di bawah Seksyen 379 dan 380, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 bermula pada 12 Mei 2020 di Penjara Maraburong.
Manakala tertuduh kedua direman di Penjara Maraburong sehingga 28 Mei 2020 bagi sebutan kes seterusnya.
PPDB ingin menjelaskan bahawa kerjasama daripada semua pihak adalah penting bagi sama-sama mengekang kegiatan jenayah dan mengurangkan apa jua aktiviti negatif melalui kepercayaan dan perkongisan maklumat kepada Pihak Polis.
Dengan maklumat yang disalurkan akan segera membantu dan seterusnya melancarkan lagi penyiasatan kes sehingga dihadapkan ke muka pengadilan serta jatuh hukuman.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
