TUTONG, Isnin 17 Feb 2020 – Dua orang lelaki warga tempatan ditahan di Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana terlibat dengan 4 kes laporan curi berasingan yang berlaku di Kawasan Kg Sinaut, Kg Maraburong, Kg Sg Kelugos dan Kg Telisai, Daerah Tutong.
Kedua orang suspek tersebut merupakan adik-beradik yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Hasil daripada sebutan kes, Mohd Haslin bin Dahlan berumur 29 tahun telah dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 16 bulan manakala Mohd Hasrol bin Dahlan berumur 20 tahun juga dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 12 bulan di Penjara Maraburong bermula hari ini 17 Februari 2020 setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan curi di bawah Seksyen 379 dan 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama orang ramai agar turut berganding bahu dalam penyaluran sebarang maklumat-maklumat penting yang berkaitan jenayah ke Pihak Polis untuk tindakan sewajarnya.
Di samping itu juga, diharapkan pemantauan terhadap ahli keluarga amat penting dalam sama-sama bertanggungjawab bagi langkah berjaga-jaga daripada terlibat dan terus terjebak dalam kancah kegiatan jenayah.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
