BRUNEI MUARA, Khamis 2 April 2020 – Dua (2) kejadian berasingan dipercayai cuba untuk menjalankan aktiviti jenayah telah berhasil dipatahkan oleh Keanggotaan Unit Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Kg Junjongan, Brunei Muara dan kawasan Pantai Sungai Tujoh, Kuala Belait.
Dalam insiden pertama yang berlaku pada 31 Mac 2020 sekitar jam 5 petang, dua (2) orang lelaki merupakan warga tempatan dan penduduk tetap telah ditahan oleh anggota Unit Operasi Khas, Pasukan Simpanan Polis C Kompeni di kawasan Kampung Junjongan kerana disyaki cuba untuk menjalankan aktiviti jenayah. Perkara ini terbongkar bila mana pihak polis telah menemukan kesan tapak kaki yang mencurigakan di kawasan berkenaan lalu siasatan dijalankan dengan menjejak kesan tersebut sehingga berhasil menemukan kedua orang suspek berkenaan di tempat persembunyian mereka.
Suspek pertama bernama Mohamad Rafaie bin Jusni berumur 27 tahun manakala suspek kedua bernama Jusni bin Haji Ahad berumur 56 tahun. Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi siasatan lanjut.
Dalam insiden kedua berlaku pada 31 Mac 2020 sekitar jam 6 petang, semasa Keanggotaan Unit Pasukan Simpanan Polis C Kompeni menjalankan rondaan dan telah berhasil menemukan serta menahan dua (2) orang lelaki warga Bangladesh yang mencurigakan dipercayai cuba untuk keluar dari Negara Brunei Darussalam melalui kawasan Pantai Sungai Tujoh, Kuala Belait.
Suspek pertama bernama Md Shohid Khan berumur 32 tahun dan suspek kedua bernama Juyel Vhuiyan berumur 29 tahun. Kedua-dua suspek diserahkan ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei menyeru orang awam agar terus mengongsikan sebarang maklumat berkenaan apa jua kegiatan yang menyalahi undang-undang di persekitaran awda dengan menghubungi:-
a) Talian kecemasan 993,
b) Melalui emel ke laman sesawang PPDB www.police.gov.bn,
c) Menerusi Instagram @upa.ppdb atau,
d) Melaporkan terus ke Balai-balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
